Thursday, 23 January 2014

Appointment Audiologi (Day 63)

Bismillah..

Alhamdulillah kedua-dua belah telinga Zaeem disahkan baik selepas pemeriksaan audiologi di Hospital Putrajaya pada pagi tadi. Telinga Zaeem kena diperiksa sebab kelahirannya secara pra-matang tempoh hari. Pada mulanya sebelah telinga je yang positif. Susahlah macam ni sebab kitorang kena kembali ke hospital untuk pemeriksaan susulan. Nasib baik nurse yang bertugas tu terbuka hati untuk jalankan ujian sekali lagi dan keputusannya jadi ok.









Prosedur pemeriksaan mengkehendaki bayi berada dalam keadaan tidur. Mujur Zaeem terus nak menyusu sebaik tiba di hospital. Bila perut dah kenyang, senang hati dia nak lelap mata. Tempoh menunggu giliran pun sangat sekejap hari ni. Bery-bery nice!
 
2 hari lepas kitorang bawa Zaeem ke KK Telok Panglima Garang untuk ambil suntikan 2 bulan. Pada masa yang sama, pihak klinik turut mengambil berat badan Zaeem yang terkini. Makin sihat anak ayah ni sekarang, dah 4 kg.
 
Good job Zaeem :p

Wednesday, 22 January 2014

Pesanan Ayah Buat Ziqri

Ziqri,

Meskipun Ude telah pergi meninggalkan kita semua, ayah harap kenangan Ziqri dengan arwah tidak akan pudar sampai bila-bila. Betapa sayangnya arwah pada Ziqri bagaikan menyayangi anaknya sendiri. Malah adakalanya dapat ayah rasakan kasih sayang arwah pada Ziqri lebih tinggi daripada yang telah ayah berikan.
Pada pagi sebelum Ude pergi, arwah datang ke rumah Wan. Bila diketahuinya yang Ziqri ada di rumah Along, arwah terus ke sana mencari Ziqri. Masih terngiang-ngiang di telinga ayah suara arwah memberi salam memanggil Ziqri ketika itu. "Assalamualaikum". Suara yang sama itu jugalah yang mampu membuatkan Ziqri berkejaran ke pintu setiap kali arwah datang ke rumah Wan. Apabila arwah ingin pulang pada pagi itu, Ziqri secara spontan salam tangan Wan dan mahu ikut, seakan-akan tidak mahu berpisah dengan Ude.

Tidak lekang senyuman Ziqri ketika bersama arwah. Tidak putus-putus peluk dan cium arwah ketika bersama Ziqri. Arwah yang hadiahkan Ziqri mainan bajak, kereta, bola, pistol dan topi askar. Arwah yang baiki katil Ziqri yang patah. Arwah yang mengajar Ziqri menyanyikan macam-macam lagu.

Rasa ralat mama dan ayah bila Ziqri tak berpeluang menatap wajah insan yang begitu menyayangi Ziqri sebelum arwah dikebumikan. Namun itu mungkin ketentuan Allah supaya Ziqri melihat riak wajah arwah yang tersenyum pada pagi itu sebagai tatapan terakhir.

Ziqri jangan lupakan Ude ye.

Tuesday, 21 January 2014

Selamat Hari Lahir Mama Eta

Bismillah..

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan usia isteriku yang genap 28 tahun pada 20 Januari 2014. Syukur juga di atas kurniaan 2 orang putera kami yang sihat walafiat dalam jangka masa hampir 3 tahun gerbang perkahwinan kitorang ni.

Alang-alang Zaeem ada appointment kat klinik pada hari ulang tahun kelahiran mama, aku pun ambil cuti rehat. Appointment adalah pada sebelah petang. Oleh itu, kitorang keluar pada lebih kurang jam 11.30 pagi ke Putrajaya untuk meraikan Mama Eta terlebih dahulu.

Destinasi pilihan aku kali ni adalah di Restoran Slero D Timur yang terletak kat Ayer@8. Aku tertarik dengan restoran ni sebab kedudukannya yang cukup menarik kerana menghadap tasik. Di samping itu, gambar makanannya kat Facebook pun boleh tahan nampak kelazatan kalorinya.

Layankanlah beberapa keping gambar yang sempat kitorang ambil semasa kat sana.

Red Velvet - RM6.80





Meatballs & Bolognese Sauce + Blueberry Jam + Fries + Cheese - RM8.90
Fettuccini Carbonara - 9.90
Spaghetti (kids) - RM5.90
Brownies with Ice Cream - RM9.00


Selesai sudah sambutan Hari Lahir Mama Eta anjuran aku yang serba ringkas ini. Semoga isteriku dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, berbahagia bersama keluarga, istiqamah dalam transformasinya dan segala-gala yang terbaik buat dirinya.

Kira-kira jam 1.15 petang, kitorang bergerak pulang ke Jenjarom.

Pada ketika inilah Mama Eta dapat panggilan telefon dari rumah dengan suara teresak-esak MIL yang suruh pulang dengan berhati-hati. Dan tak lama lepas tu, kitorang menemui jasad Abang Ude terbujur di atas jalan raya akibat kemalangan. Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar!

ALFATIHAH buat arwah.
Takziah buat famili.

Monday, 20 January 2014

Bercuti Di Gold Coast Morib Resort

Assalaaaamualaikum..~!!

Dari Port Dickson, kitorang menyusuri jalan dalam melalui pekan Sepang, Sungai Pelek serta Tanjong Sepat sehinggalah akhirnya tiba di lokasi percutian kitorang yang seterusnya, Gold Coast Morib Resort. Woohoo..~!!

Pada aku, ada 2 daya tarikan utama kat sini iaitu jakuzi di dalam bilik dan water theme park di dalam resort ni. Semasa check in, pihak hotel bagi kitorang 2 wrist band sebagai pas masuk ke dalam water theme park yang sentiasa kitorang pakai termasuklah waktu keluar dinner dan tidur. Huhu. Sementara kanak-kanak yang tingginya kurang daripada 90 cm boleh mandi secara percuma.


Pada waktu malam, kitorang berjaya gak melunaskan hasrat Mama Eta yang tak tercapai semasa kat PD tempoh hari iaitu makan butter prawn. Alhamdulillah banyak pilihan kedai makan kat kawasan Pantai Morib yang terletak kira-kira 5 minit dari hotel. Selain udang, kitorang makan juga ikan bakar, ayam goreng, tomyam dan kentang goreng.



Seronok layan Ziqri main air. Nanti Zaeem dah besar, boleh join abang dia gak. Next percutian sebaik-baiknya kena ada air laut atau swimming pool la nampaknya. Hehe.

Sunday, 19 January 2014

Bercuti Di Grand Lexis Port Dickson

Assalaaamualaikum..~!!

Pada satu hari tu Mama Eta tanya aku, kali ni kita nak bercuti ke mana lak sementara dia tengah dalam tempoh cuti bersalin ni. Haha soalan cepu emas gak tu. Kali terakhir kitorang pergi bercuti adalah 4 bulan lepas ke Pulau Tioman. Kisahnya kat SINI. So selepas brainstorming, ambil kira tarikh cuti umum bulan Januari, faktor traffic jam, jarak perjalanan, kemampuan kewangan, kesesuaian anak 2 orang dan macam-macam lagi, kitorang bersepakat untuk menuju ke Grand Lexis Port Dickson.

Oleh sebab kadar bayaran sewa hotel kat Grand Lexis ni boleh tahan mahalnya, kitorang kenalah buat kajian yang teliti. Kitorang bandingkan harga bilik pada tarikh yang kitorang cadang nak pergi tu melalui website dia, Agoda dan Booking.com. Aku call juga Grand Lexis untuk tanya pasal government rate. Finally kitorang tempah melalui Agoda untuk penginapan selama 1 malam pada 17 Januari 2014 di Garden Pool Villa - Garden Living. Apa ciri-ciri bilik tu boleh tengok kat SINI.

Walau bagaimanapun, masa aku pergi check in hari tu, pihak hotel bagi kitorang bilik yang lagi upgrade tanpa sebarang caj tambahan sebab bilik yang kitorang tempah pada asalnya dah penuh. Alhamdulillah, kitorang pun dapat stay kat Grand Garden Pool Villa- Garden Living. Klik SINI untuk bandingkan bilik tadi dengan bilik yang ni.

Sebenarnya sampai sekarang pun aku masih tak faham apa yang berlaku. Alkisahnya semasa aku tengah check in tu, aku dengar customer kat kaunter sebelah tu dapat bilik yang lain juga gara-gara dia beli tiket melalui 3rd party iaitu Booking.com. Hurm, Agoda pun 3rd party gak kan? Daripada nada suara perbualan diorang, aku tak rasa bilik lain yang dia dapat tu jenis upgrade. Persoalan lain, adakah kita wajar check in awal untuk elak bilik yang kita dah tempah tu penuh atau lebih baik kita check in lewat dengan harapan dapat bilik yang upgrade ataupun lebih malang lagi jika sebaliknya? Wallahualam.

Ok takpe, kita ketepikan dulu semua persoalan tu. Apa kata kita tengok gambar bilik dan sekitar kawasan hotel jom :)







Seriously hotel ni sangat best - bilik, swimming pool, landskap, fasiliti, breakfast. Wajiblah kena best sebab kita dah bayar pun best kan. Haha. Btw nak kongsi 1 cerita ni. Disebabkan saiz bilik yang sangat besar ni, Mama Eta kata bilik jiran kitorang ada 11 orang kot kat dalam tu. Haha. Dari segi aktiviti, kebanyakan masa kitorang adalah kat dalam bilik je - mandi swimming pool. Kitorang keluar bilik hanya untuk makan dan morning walk.

Bercerita pasal makan, ada beberapa tempat makan popular kat PD ni. Cuma dalam banyak-banyak tu, kitorang sempat pergi ke 1 tempat je untuk lunch sebelum check in hotel iaitu kat Cowboy Place yang terletak kat Telok Kemang. Senang je nak cari sebab kedai ni terletak betul-betul tepi jalan berdekatan dengan PD World Marina. Satu-satunya menu dia yakni Nasi Kukus Ayam Panggang memang sedap. Kuantiti nasi sikit tapi saiz ayam besar. Ce try.


So far boleh dikatakan ini mungkin hotel paling best kitorang pernah duduk. InsyaAllah kalau ada rezeki, boleh pergi lagi kot. Ke kita nak cari hotel lain pada kadar yang sama? Hehe. Tungguuuuu..

Austin Steak House Bangi

Assalaaaamualaikum..~!!

Kalau korang tengah mencari-cari kedai makan best kat sekitar Bangi, salah satu option yang aku syorkan adalah kat Austin Steak House..!

Kitorang berkesempatan pergi makan kat sana pada hari Khamis lepas. Oleh sebab hari Jumaat adalah cuti umum dan kitorang pun akan pergi bercuti, jadi aku pun dapat idea untuk belanja emak dan famili makan kat luar.

Jujurnya niat awal aku nak bawa diorang makan kat Laman Grill milik Chef Zubir. Tapi disebabkan harga makanannya yang masyaAllah aku tak mampu, lupakan je laa. Maka digooglelah lagi tempat makan lain yang popular antaranya Rumah Makan Cibiuk, Wadihana Islamic SteakHouse (WISH), The Grato dan @Grill. Akhirnya Austin Steak House yang menjadi pilihan sebab harga yang berpatutan, review orang ramai yang baik dan konsepnya yang agak unik.

Kitorang sampai lebih kurang jam 8.30 malam. Pelanggan agak ramai tapi masih ada tempat duduk yang kosong untuk kitorang. Selepas diteliti menu makanan dan minuman, kitorang pun order. Alhamdulillah servis agak laju sebab tak lama lepas tu, satu demi satu hidangan kitorang sampai.

Combo Steak - RM17.90
Sizzling Steak - RM15.90
Beef Spaghetti - RM8.90
Juices - RM5 kot
Bismillah
Makannnnnn!!!!
Nenek & Ziqri
Ayah & mama
Zaeem
InsyaAllah kitorang akan kembali ke Austin Steak House untuk mencuba makanan lain.

Saturday, 11 January 2014

Celebrate Habis Pantang Kat Little White Cafe

Assalaaamualaikum..~!!

Selepas 44 hari berpantang yang pelbagai selepas melahirkan Zaeem, akhirnya Mama Eta dah FREE. Hehe. Berpantang gitu-gitu je sebenarnya. Tapi setidak-tidaknya berpantang dia kali ni lebih baik berbanding masa kelahiran Ziqri dulu laa.

So bagi meraikannya, kitorang pun g makan kat Little White Cafe, Bangi.

Double Joy

Roast Chicken & Beef Lasagna

Drinks
Rasa makanan dan minuman dia ok laa. Tapi bila nak dibandingkan dengan harganya - kek (>RM10); main course (>RM20 each); jus epal gelas kecil tu (RM5); kitorang tak makan situ lagi kot. Hehe. Kalau tak pun, pergi minum petang sekali sekala boleh kot sebab kedai tu jual pavlova gak. Macam sedap je :)

Thursday, 9 January 2014

Appointment Oftalmologi (Day 49)

Assalaaamualaikum..~!!

Zaeem kembali ke Hospital Putrajaya hari ni untuk rawatan susulan matanya. Actually mata dia ok je. Cuma sebab doktor NICU dah refer Zaeem ke Oftalmologi 3 minggu lepas, maka doktor tu pun terima je laa dan jalankan prosedur macam biasa. So far dah 2 kali Zaeem ke Oftalmologi iaitu pada usia genap 4 minggu dan genap 7 minggu.

Selepas 4 jam menunggu, selesai pun appointment Zaeem hari ni. Kata doktor, semuanya ok. Salur darah sampai ke bahagian yang sepatutnya. Lebih kurang macam tu laa kot maksudnya yang aku faham. Haha. So lepas ni akan check mata lagi lepas usia dia dah setahun.
Zaeem dan Zaeem juga

1 tip baru yang kitorang belajar kat Hospital Putrajaya hari ni adalah untuk tekan butang B masa nak ambil nombor giliran bila bawa baby sebab gilirannya lebih cepat. Ok, akan dipraktikkan pada 21 Januari ni (appointment audiologi).

1 pengajaran lak yang aku dapat daripada lawatan ke hospital sebelum ni dan aku dah perbaiki kali ni adalah untuk meletak kenderaan di tempat yang dibenarkan sahaja. No more parking tepi-tepi jalan. Mahal wo saman Perbadanan Putrajaya, RM150 sebelum diskaun. Gulp..

Sunday, 5 January 2014

Emak Kena Ragut

Assalamualaikum..

Tengok gambar kat bawah.





Lelaki tu telah MERAGUT emak aku pada hari Jumaat, 3 Januari 2014. Kejadian berlaku pada jam 3.56 petang berdekatan pintu pagar kawasan apartmen. Emak mengalami kecederaan ringan apabila tersungkur ke atas jalan dan kini sedikit trauma.

Mujur peragut tu gagal mengambil sebarang benda. Nasib baik ada warga apartmen yang menyedari kejadian ragut ni. Teriakannya telah membuatkan peragut tu melarikan diri dan terus lesap apabila cuba dikejar.

Walau bagaimanapun, kejadian ni telah berjaya dirakamkan dengan jelas melalui CCTV.

Atas nasihat Pengerusi apartmen, kitorang membuat laporan polis pada hari Sabtu. Prosedur laporan ni agak melecehkan sebab mengkehendaki kitorang ke 2 buah balai dan mengambil masa yang agak panjang. Diharapkan hasil daripada laporan ni akan dapat membantu pihak polis memberkas individu yang tak berperikemanusiaan tu dan dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Terima kasih kepada warga apartmen yang telah membantu emak semasa dan selepas kejadian.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...