Saturday, 5 January 2013

Emel Terbuka Kepada Utusan - Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ)

As Salam,

Saya tertarik dengan artikel tulisan En. Ali Mahmood di akhbar Utusan Malaysia pada hari ini (5/1/2013) bertajuk "Desak Presiden Undur Tak Selesai Masalah".

Naib Presiden 1 Pahang FA dipetik berkata, masalah tidak akan selesai jika Presiden FAM berundur. Pihak yang mendesak perlu tampil memberi pandangan. Ramai jurulatih dari luar negara telah dibawa masuk tetapi bola sepak Malaysia masih gagal. Pengunduran Presiden FAM merupakan kerugian kepada bola sepak negara.

Berikut adalah pandangan saya.

Pengunduran Presiden FAM daripada jawatan yang disandang sejak tahun 1984 ini sebenarnya akan membuka laluan kepada lebih banyak penyelesaian masalah dalam bola sepak Malaysia. Harus difahami, peminat bukan hanya mahukan Presiden FAM sahaja yang meletak jawatan. Peminat juga mahu melihat revolusi dalam struktur FAM, pentadbiran Persatuan Bola Sepak Negeri dan sistem pengurusan bola sepak di Malaysia keseluruhannya.

Kami bukan mendesak dengan sewenang-wenangnya supaya Presiden FAM meletakkan jawatan. Kami mendesak ada sebabnya. Kami juga ada idea kami sendiri. Tetapi sejauh mana pula kesanggupan FAM untuk berbincang dengan kami? Apa ertinya pandangan kami jika mereka mengamalkan sikap "FAM Knows Everything"? Hakikatnya isu PFSLJ telah lama dibincangkan di laman sosial, forum, malah ada diterbitkan juga buku mengenainya. Tetapi tidak pernah sekali pun ada pihak media cetak/elektronik arus perdana yang mengangkat isu ini sehinggalah baru-baru ini.

Tidak dinafikan FAM di bawah tampuk Presiden pada masa kini telah menggaji ramai jurulatih dari luar negara untuk menaikkan mutu bola sepak Malaysia. Jozef Venglos (1986-1987), Richard Bate (1988), Trevor Hartley (1989), Ken Worden (1992-1993), Claude Le Roy (1994-1995), Hatem Souisi (1995, 1998), Allan Harris (2001-2004) dan Bertalan Bicskei (2004-2005). Bukan calang-calang orang mereka ini tetapi kenapa bola sepak Malaysia masih gagal? Jawapannya kerana sistem pengurusan bola sepak yang teruk.

Saya tidak rasa pengunduran Presiden FAM sebagai satu kerugian bola sepak negara. Lihatlah dari sudut positif. Pengunduran Presiden akan membuka lembaran baru dalam sukan bola sepak Malaysia. Beri peluang kepada generasi baru, generasi muda yang mempunyai idea segar, generasi berpengalaman dan berpengetahuan, generasi penulis sukan, generasi yang bebas daripada pengaruh politik, generasi bekas pemain bola sepak yang memahami selok belok bola sepak negara, generasi lagenda bola sepak yang diabaikan. Presiden hanya diminta untuk meletakkan jawatan, bukannya dilarang daripada memberi pandangan.

Tunku Abdul Rahman menyandang jawatan Presiden FAM selama 23 tahun (1951-1974). Malaya menjuarai Pestabola Merdeka sebanyak 3 kali berturut-turut (1958-1960). Malaysia juga pernah bergelar juara selepas menewaskan Burma (1968), Kuwait (1973) dan Korea Selatan (1974). Lebih membanggakan, Malaysia pernah memenangi pingat gangsa di Sukan Asia pada tahun 1962 dan 1974. Paling membanggakan apabila Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1972 dan bersaing dengan Jerman Barat serta Maghribi, malah mencatat kemenangan 3-0 menentang Amerika Syarikat.

Tun Abdul Razak menyambung legasi kepimpinan Presiden FAM selama 2 tahun dan berjaya memastikan Malaysia layak buat julung kalinya ke Piala Asia 1976 sejak kejohanan itu kali pertama diadakan pada 20 tahun terdahulu. Malaysia juga menjadi juara Pestabola Merdeka pada tahun 1976 apabila menewaskan Jepun 2-0.

Anak Malaysia berikutnya yang menduduki kerusi panas Presiden FAM adalah Tan Sri Datuk Seri Raja Hamzah dari tahun 1976-1984. Kejayaan diraih juga membanggakan. Sekali lagi Malaysia layak ke Sukan Olimpik dan juga Piala Asia pada tahun 1980.

Selepas itu, bola sepak Malaysia semakin merudum. Sejak 1984 hingga kini di bawah kepimpinan Presiden FAM, kejayaan Malaysia hanyalah menjuarai Pestabola Merdeka selepas menewaskan Czechoslovakia XI (1986), Korea Selatan B-23 (1993) dan Myanmar (2007). Malaysia gagal ke Olimpik. Malaysia gagal ke Sukan Asia. Beraksi di Piala Dunia Remaja 1997 dan Piala Asia 2007 pun hanyalah atas kapasiti tuan rumah sahaja.

Layak ke Piala Dunia pula hanyalah mimpi yang tidak mungkin akan jadi realiti tanpa revolusi dalam FAM hinggalah ke sistem pengurusan bola sepak Malaysia.

Akhir kata, PFSLJ.

Sekian.

Peminat


1 comment:

  1. setuju.. Presiden FAM sekarang sila undur diri

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...